kartun widget

Sunday, April 19, 2009

Tip jejaka temu jodoh ideal


Bagi lelaki, dalam kebanyakan situasi, mereka cepat tertarik dan jatuh hati kepada wanita berwajah jelita dengan tubuh menawan berbanding gadis yang memiliki kekurangan dalam aspek itu. Kecenderungan ini bagai sudah menjadi trademark sedangkan jika diteliti dari aspek keperibadian, lebih banyak kualiti ditemui pada wanita yang tidak memiliki tarikan fizikal.


Benarkah lelaki lebih rela keluar bersama wanita cantik yang bodoh daripada wanita bijak tapi penampilannya kurang menarik?

Ya, benar. Dari sudut psikologi, lelaki sentiasa ingin menjadi pemimpin. Seorang pemimpin tentunya perlu lebih bijak daripada orang yang dipimpinnya. Apatah lagi jika orang yang akan dipimpinnya itu adalah wanita.

Sudah pasti mereka memerlukan seorang wanita yang boleh mengikut arahan dan kemahuannya berbanding wanita yang terlalu bijak. Ini kerana bagi mereka wanita bijak biasanya banyak mulut.

Bagi seseorang lelaki, kecantikan pasangan adalah sangat penting kerana ia menjadi lambang kelelakian dan kemegahan mereka.

Lelaki bagaimana yang biasanya bersikap begitu dan mengapa mereka bersikap sedemikian?

Boleh dikatakan, hampir semua lelaki begitu. Memiliki pasangan wanita yang cantik adalah suatu lambang kemenangan dan kebanggaan. Lelaki begini biasanya akan memilih wanita yang tidak cantik hanya selepas tiada pilihan.

Tapi selagi mempunyai pilihan, mereka sentiasa akan memilih wanita yang cantik.

Adakah seseorang lelaki mahu berpasangan dengan wanita kurang bijak kerana lebih mudah untuk mereka menguasai wanita begitu?

Itu pun antara sebabnya mengapa lelaki memilih wanita kurang bijak. Lelaki suka kalau wanita bergantung sepenuhnya kepada diri mereka.

Ada hadis yang kita boleh dikaitkan dengan situasi ini iaitu:

Dari Abu Hurairah r a, Nabi SAW bersabda, ”Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok adalah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah. Tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik."

(Muslim)

Hadis ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa lelaki adalah pemimpin dan seorang pemimpin memang ingin menguasai orang yang dipimpin secara sepenuhnya.

Ada pula lelaki menyatakan mereka tergugat apabila mempunyai pasangan wanita yang lebih bijak. Komen anda?

Realitinya, jika disuruh memilih antara kecantikan dan kebijaksanaan pada seorang wanita, lumrahnya lelaki akan memilih kecantikan. Tidak dinafikan seseorang lelaki berasa tergugat jika pasangannya lebih bijak.

Seboleh mungkin lelaki tidak ingin bekerja di bawah wanita biarpun dia tahu wanita terbabit lebih bijak dan berketrampilan berbanding dirinya.

Tidakkah perkara seperti ini akan mengakibatkan kebanyakan wanita bijak sukar mendapat pasangan?

Ada betulnya. Di Malaysia sekarang, kebanyakan wanita yang menjawat jawatan tinggi masih keseorangan kerana wanita yang cantik meskipun tiada pekerjaan, sering menjadi pilihan lelaki.

Seseorang wanita yang bijak selalunya sukar mendapat pasangan kecuali mereka juga cantik atau lelaki pilihannya itu hampir sama kedudukan dengannya.

Adakah memiliki teman wanita atau isteri yang cantik hanya semata-mata untuk mengagumkan orang lain?

Ia bukan setakat mengagumkan orang lain, tapi juga simbol kemenangan. Seseorang lelaki menganggap dirinya jagoan jika mampu memikat wanita cantik biarpun

wanita itu jahat.

Pada seorang lelaki, kecantikan sangat penting untuk dibanggakan. Sebab itu, kita lihat, ramai lelaki tidak kisah dikikis harta bendanya walaupun mereka tahu diri mereka sedang didampingi wanita pisau cukur.

Sejauh mana perlunya kriteria bijak dan cantik harus dititikberatkan seseorang lelaki dalam proses memilih pasangan?

Jika hendak memilih pasangan, jangan pula memilih wanita yang tidak bijak langsung hingga tidak boleh dibawa berbincang. Jika boleh, usah pula memilih wanita terlalu bijak hingga suara dan kuasa lelaki lenyap begitu saja.

Sebenarnya, kebanyakan lelaki akan rimas kalau wanita terlalu menunjuk pandai. Lelaki selalunya mahukan wanita yang akur dan berkata ya meskipun kurang setuju dengan sesuatu perkara.

Justeru, apa kualiti lain yang perlu lebih dititikberatkan selain dua ciri ini bagi menjamin hubungan yang bahagia?

Biarpun secara psikologi lelaki memang tewas terhadap kecantikan tapi untuk sebuah perhubungan yang maju dan menarik, mereka perlu fikirkan juga soal kebijaksanaan pasangan.

Ini kerana isteri yang bijak bakal melahirkan anak-anak yang bijak. Sebahagian besar lelaki inginkan zuriat yang bijak dan biasanya inilah alasan mereka untuk berkahwin dengan wanita yang bijak walaupun tidak cantik.

Namun, sikap lelaki yang terlalu mementingkan kecantikan ini sebenarnya bertentangan dengan pandangan Islam. Saya ingin memetik hadis ini:

Dari Abu Hurairah ra, katanya, ”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Wanita Quraisy itu amat baik, mereka dapat menunggang unta, amat pengasih kepada anak-anak dan pandai menjaga harta suami."

(Bukhari).

Dalam hadis ini tidak dinyatakan pun aspek kecantikan perlu diambil kira dalam memilih pasangan.


Tip memikat hati wanita bijak

1. Pastikan anda menjaga kebersihan diri. Wanita bijak mungkin tidak terlalu terpengaruh dengan rupa, tapi kebersihan masih menjadi keperluan utama.

2. Berkelakuan baik. Bergurau ringkas tidak mengapa, tapi tetap berhati-hati agar tidak membuatkan mereka terasa atau berkecil hati.

3. Elakkan mencarut atau melontarkan kata-kata kesat di depan mereka. Perbuatan ini langsung tidak cool.

4. Jangan ambil kesempatan. Walaupun mereka mungkin memberi isyarat yang mereka juga minat kepada anda, tidak bermakna anda boleh semudah-mudahnya menyentuh atau mengambil kesempatan terhadap mereka.

5. Sekali-sekala berikanlah pujian ikhlas anda, jika tidak kepada fizikal mereka, apa salahnya memuji sikap atau personaliti mereka. Tapi ingat, pujian harus jujur!

6. Jangan cuba-cuba mengkhianati hubungan kerana mereka akan mudah menganggap anda lelaki tidak berguna.

7. Jadi lelaki budiman. Bukan hanya pada wanita yang anda suka, tapi kepada semua yang ada di sekeliling anda.

8. Jadi pelindung dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri mereka.

9. Jadikan mereka percaya kepada anda. Simpan rahsia, luahan emosi atau apa saja yang mereka kongsi bersama anda.

10. Babitkan diri dalam perbualan intelek. Bukan hendak menunjuk pandai, tapi buktikan anda juga memiliki kekuatan intelek dan boleh diajak berbincang. Tetapi janganlah keterlaluan hingga menimbulkan pergaduhan atau rasa tidak senang.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin